Blog Surau Sri Melor

Mengenai Surau Al Ihsan, Apt Sri Melor di Ukay Perdana,Ampang

Mengaji Al-Quran Kanak-kanak 29/12/2009

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 11:36 pm

Satu perbincangan antara ibu-bapa dan tenaga pengajar akan diadakan pada hari khamis 31 Disember 2009 selepas Isya’ bagi membincangkan masalah-masalah (jika ada), penambah baikan, pengajian fardu ain selingan dan lain-lain lagi bagi tahun akan datang. Ibubapa yang mempunyai anak yang sedang mengaji di surau adalah dijemput bersama-sama bagi memberi pandangan atau menyampaikan sebarang aduan atau masalah berkenaan pengajian anak-anak masing-masing.

Tujuan pihak surau mengadakan perbincangan ini adalah untuk mendapatkan feedback dari ibu bapa berkenaan kemajuan dan sambutan pengajian al-quran di surau untuk kanak-kanak.

Ibu bapa yang belum menghantar anak mengaji di surau dan berminat untuk berbuat demikian boleh juga hadir ke perjumpaan ini. Semua AJK surau adalah dialu-alukan untuk bersama-sama ke majlis ini.

 

Khatan Beramai-ramai 21/12/2009

Filed under: Aktiviti — surausrimelor @ 11:30 pm

Sekali lagi majlis berkhatan beramai-ramai dapat diadakan di Surau Al-Ehsan Sri Melor seperti tahun-tahun sebelum ini pada sabtu 19hb Disember yang lepas. Namun kali ini hanya 4 peserta sahaja yang dapat diberi peluang atas permintaan klinik. Majlis yang bermula jam 8 pagi demeriahkan dengan kehadiran keluarga peserta serta beberapa AJK surau yang sempat melapangkan masa. Walau bagaimana pun salah seorang peserta telah menarik diri disaat akhir atas sebab demam.  

Peserta bersama sebahagian ahli keluarga

Imam mengambil angin selepas berarak

 

Sedekah Secara Senyap (SSS) 19/12/2009

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 1:16 am

Nabi S.A.W. bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. yang bermaksud “Tatkala Allah menciptakan bumi, maka bumi pun bergetar, maka Allah ciptakan gunung dengan  kekuatan yang diberikan kepadanya, ternyata bumi pun diam. Para malaikat pun hairan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka pun bertanya: “Ya Rabbi, adakah sesuatu yang engkau ciptakan lebih hebat daripada gunung?”

Allah menjawab, “Ada iaitu besi.” Para malaikat pun kembali bertanya: “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam dalam penciptaan-Mu yang lebih hebat daripada besi?”

Allah yang Maha Suci menjawab: “Ada iaitu api.” Para malaikat pun kembali bertanya: “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam dalam penciptaan-Mu yang lebih hebat daripada api?”

Allah yang Maha Agung menjawab: “Ada iaitu air.” (Api yang membara macam manapun akan padam dengan simbahan air). “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaanmu yang lebih hebat daripada air?” tanya malaikat lagi.

Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab: “Ada iaitu angin.” (Air di lautan akan segera terangkat, bergulung-gulung dan berombak, menghempas pantai dan batu karang, menyebabkan kapal dan perahu terumbang-ambing kerana dahsyatnya kekuatan angin.)

Akhirnya para malaikat bertanya lagi: “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih hebat daripada angin?”

Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kekuatan-Nya menjawab: ” Ada iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahui.” (Riwayat Al-Tirmizi)

 

Happy New Year 1431 !!! 15/12/2009

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 10:48 pm

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘dipantang’, iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Peristiwa-peristiwa penting:

1 Muharam – Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharam – Dinamakan juga hari ‘Asyura’. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan ‘Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.

DOA AKHIR TAHUN HIJRAH

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib  pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata :
“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan
aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun”

Doa Awal Tahun

Doa Awal Tahun

Doa Akhir Tahun

Doa Akhir Tahun

 

Akaun Surau Sri Melor

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 10:36 pm

Alhamdulilah. Berkat kerjasama raka-rakan surau semua, akaun surau berjaya dibuka di Maybank Islamic Melawati.  Pihak surau mengucapkan jutaan terima kasih kepada saudara-saudara yang terlibat didalam menjayakan tugasan ini. Untuk maklumat lanjut dan sumbangan melalui Maybank2u, sila layari
sini .

 

Mesyuarat Qurban 2010 13/12/2009

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 4:51 pm
Tags:

Satu mesyuarat ringkas berkenaan perkara diatas akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 13/12/2003
Masa: Selepas Solat Isya’
Tempat: Surau Sri Melor

Kepada sesiapa yang kelapangan, dijemput hadir untuk memeriahkan majlis dan seterusnya menyumbang idea.

Sekian. Terima Kasih.

 

Majlis Ilmu 13/12/2009

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 4:48 pm
Tags:

Satu kuliah berkenaan hadis akan disampaikan oleh Ustaz Abdol selepas solat maghrib.

 

Majlis Akan Datang

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 10:38 am

Kuliah Umum

Satu kuliah umum akan diadakan pada 15hb Disember 2009 (selasa) lepas isya’. Semua muslimin & muslimat dijemput hadir

Doa Awal/Akhir Tahun

Sempena sambutan tahun baru hijrah, Surau Al-Ehsan akan mengadakan doa hujung tahun sebelum maghrib dan doa awal tahun selepas maghrib pada 17hb Disember 2009.

Ceramah bulanan akan diadakan pada 19hb Disember 2009 (Sabtu) selepas maghrib. Ceramah bulanan ini akan mengambil tema Maal Hijrah.

Khatan Ramai-Ramai

Majlis khatan ramai-ramai untuk kanak-kanak akan diadakan pada 19hb Disember 2009 (sabtu) bermula jam 8.00 pagi di surau Al-Ehsan. Semua adalah dijemput untuk memeriahkan majlis disamping meraikan kanak-kanak yang mengambil bahagian.

Bagi melicinkan urusan majlis, semua AJK adalah dijemput untuk mesyuarat pada 13hb Disember 2009, selepas isyak di Surau Al-Ehsan.

Kuliah Muslimat

Kuliah muslimat bagi bulan ini akan diadakan pada 27hb Disember 2009 (Ahad) bermula jam 3.00 petang. Semua muslimat adalah dijemput menghadiri untuk menambahkan ilmu.

 

Majlis Ilmu 04/12/2009

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 9:13 pm
Tags:

Satu kuliah tafsir akan disampaikan oleh Ustaz Karim. Maklumat lanjut adalah seperti berikut:

Tarikh: 5/12/2009
Masa: Selepas Solat isya’
Tempat: Surau Sri Melor

Semua jemaah dijemput hadir. Jazakallah Khairan.

 

Info: Tanda-tanda Kematian Semakin Hampir 02/12/2009

Filed under: Uncategorized — surausrimelor @ 8:53 am

Tanda 100 Hari

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.

Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru saja disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mere ka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat.

Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati


Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT.

Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari


Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari


Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti.

Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.

Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari


Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

Tanda akhir


Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum.

Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah
menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Penutup
Sesungguhnya mengingati mati itu adalah bijak.

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.

Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh Mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain.

Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.  Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semoga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri

Jazakallah. Dipetik dari emel yang dihantar kepada pentadbir blog. Wallahualam.